Pengenalan : Mencabar dan terus Mencabar

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia

Kali ini terpanggil saya untuk menjalankan satu tugasan bagi memenuhi ilmu yang semakin lama semakin mencabar minda. Tugasan kali ini memerlukan saya lebih berusaha dari awal lagi untuk menemui dan meneroka satu ilmu baru iaitu 'MEMBINA BLOG'. Walaupun tahu serba sedikit tetapi tugasan HBMT2103 kali ini amat mencabar bagi saya.

Di dalam tugasan ini, saya akan membincangkan tentang cara-cara pengajaran dan aktiviti bagi memperkenalkan konsep isipadu cecair kepada murid-murid tahun 2. Oleh itu kita perlu lihat kepada Huraian Sukatan Matematik Tahun 2 (seperti link di bawah) untuk mengetahui hasil pembelajaran dan objektif yang perlu dicapai.

Masalah Murid Tahun 2 dalam Topik Isipadu Cecair

Di dalam pemerhatian saya semasa menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran kepada sebuah kelas Tahun 2 sebelum ini, murid-murid agak keliru dan tidak dapat membezakan isipadu cecair dan tidak dapat membaca senggat pada silinder pengukur dengan tepat. Adakah ini disebabkan oleh mereka tidak memahami konsep mengukur isipadu atau mereka hanya menganggap pemerhatian bekas yang besar maka air lebih banyak atau bekas yang kecil maka isipadu airnya mungkin lebih kecil walaupun kedua-dua bekas ini diisi dengan kuantiti air yang sama banyak. Secara amnya, mereka masih gagal membuat dan memikirkan anggaran isipadu air tersebut.
Untuk menyampaikan aktiviti ini saya mulakan dengan sebuah video untuk tontonan murid-murid sebelum mereka sendiri merasai bagaimana membezakan kuantiti air. Video ini akan dijadikan sebagai satu set induksi agar murid-murid dapat melihat bagaimana mengukur kuantiti air secara am dan cuba memberitahu adakah air tadi sama banyak atau tidak. Lihatkan video di bawah:

Maka untuk tugasan kali ini saya telah mencari dua aktiviti yang menarik bagi membolehkan murid-murid memahami konsep dan dapat membezakan kuantiti air iaitu di antara dua bekas yang disediakan:
  1. Aktiviti mengira jumlah isipadu air ke dalam dua bekas yang berbeza (untuk pelajar yang lemah)
  2. Aktiviti mengenalpasti adakah kuantiti air tersebut sama banyak atau tidak bagi bekas-bekas yang berlainan (untuk pelajar yang berada di aras lebih tinggi)
Kedua-dua aktiviti-aktiviti ini menggunakan bahan-bahan bantu mengajar yang mudah dan senang untuk disediakan oleh guru dan murid. Semua bahan yang digunakan adalah bahan-bahan yang pernah digunakan seharian oleh murid-murid ini di rumah.

Apakah alat atau bahan-bahan sesuai digunakan dan mudah untuk disediakan?

Sebelum memulakan pengajaran guru mencari dan menyediakan bahan-bahan yang membantu pengajaran mereka. Ini adalah kerana, dengan bahan-bahan ini dapat menimbulkan dan meningkatkan kefahaman murid dalam topik isipadu cecair. Berikut adalah bahan-bahan atau alatan yang dapat membantu guru mengajar murid tentang isipadu cecair. Bahan-bahan ini adalah untuk satu kumpulan. Bahan-bahan berikut ialah:


Bahan-bahan untuk aktiviti pertama

  1. satu cawan plastik (plastik cup)
  2. Dua mangkuk besar
  3. satu balang kaca
  4. dua jag jernih yang sama besar
  5. Sebaldi air paip
  6. Kertas catatan
Bahan-bahan untuk aktiviti kedua

  1. Sebaldi air
  2. Dua jag plastik
  3. 2 silinder pengukur
  4. 2 tin susu
  5. 2 mangkuk plastik
  6. Kertas catatan

Aktiviti Pertama (untuk murid aras rendah)

Cara-cara menyampaikan pengajaran:
  • Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan dan dibekalkan bahan-bahan bantu pembelajaran yang telah disediakan oleh guru.
  • Murid memahami tujuan pembelajaran pada hari ini.
  • Murid melihat video yang dipersembahkan oleh guru dan menjawab beberapa soalan guru tentang isipadu cecair yang ditunjukkan di dalam video.
  • Murid diminta menyukat isipadu bagi mangkuk pertama untuk mendapatkan berapa jumlah cawan air yang dimasukkan ke dalam bekas itu.
      • Contohnya : Murid menuangkan secawan demi secawan air ke dalam mangkuk sehingga penuh.
  • Murid dikehendaki mencatat bilangan cawan air yang dimasukkan ke dalam mangkuk tersebut.
  • Murid mengulangi menuang air ke dalam mangkuk yang kedua dan mencatat bilangan cawan yang telah dituang.
  • Murid menyatakan bilangan cawan yang telah dituang ke dalam kedua-dua mangkuk, bilangannya adalah sama.
  • Murid diminta menuang air dari mangkuk A ke dalam jag A dan bandingkan air di dalam jag tadi dengan mangkuk kedua. Adakah ia sama banyak?
  • Untuk memastikan ia sama banyak, murid diminta menuang air dari mangkuk B ke dalam jag B dan bandingkan jag A dengan jag B. Adakah ia sama banyak?
  • Murid membuat kesimpulan bahawa air yang di dalam mangkuk adalah sama banyak dengan air yang terdapat di dalam jag walaupun jika dilihat jag adalah bekas yang tinggi.


Aktiviti kedua (untuk pelajar aras tinggi)

Cara-cara menyampaika
  • Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan dan dibekalkan bahan-bahan bantu pembelajaran yang telah disediakan oleh guru.
  • Murid memahami tujuan pembelajaran pada hari ini.
  • Murid melihat video yang dipersembahkan oleh guru dan menjawab beberapa soalan guru tentang isipadu cecair yang ditunjukkan di dalam video.
  • Murid diminta menuang penuh air ke dalam tin susu A dan tin susu B yang disediakan.
  • Murid kemudiannya, diminta menuang air dari tin susu A ke dalam jag A. 
  • Murid nyatakan adakah ia sama banyak atau tidak?
  • Untuk memastikannya, murid dikehendaki menyukat air dari tin susu A dan Jag A dengan menggunakan silinder penyukat. Adakah ia sama banyak?
  • Murid menyatakan jawapan mereka di dalam kertas catatan.
  • Kemudian, murid menjalankan aktiviti pengukuhan bagi bekas-bekas lain yang disediakan dan mencatatkan dalam kertas catatan sebagai latihan pengujian.
  • Murid juga digalakkan menyukat bekas yang berbeza seperti jag A dengan mangkuk plastik B. Bandingkan adakah ia sama banyak atau sedikit dari satu bekas yang lain.

Rujukan

Lee Tak Sing, Lean Kee Fang & Azizah Tengah. (2003). Mathematics Year 2 Tex Book Part 2. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. (7 Oktober 2010)



Youtube. (2007). Child Conservation. [Online]. [Available]:http://www.youtube.com/watch?v=qYtNhNP69lk ( 16 Oktober 2010 )


.Youtube. (2010). What is volume? K2 Math Education Kids educational Video.[Online]. [Available]:http://www.youtube.com/watch?v=VASC2aeehWc&feature=related (16 Oktober 2010).