Masalah Murid Tahun 2 dalam Topik Isipadu Cecair

Di dalam pemerhatian saya semasa menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran kepada sebuah kelas Tahun 2 sebelum ini, murid-murid agak keliru dan tidak dapat membezakan isipadu cecair dan tidak dapat membaca senggat pada silinder pengukur dengan tepat. Adakah ini disebabkan oleh mereka tidak memahami konsep mengukur isipadu atau mereka hanya menganggap pemerhatian bekas yang besar maka air lebih banyak atau bekas yang kecil maka isipadu airnya mungkin lebih kecil walaupun kedua-dua bekas ini diisi dengan kuantiti air yang sama banyak. Secara amnya, mereka masih gagal membuat dan memikirkan anggaran isipadu air tersebut.
Untuk menyampaikan aktiviti ini saya mulakan dengan sebuah video untuk tontonan murid-murid sebelum mereka sendiri merasai bagaimana membezakan kuantiti air. Video ini akan dijadikan sebagai satu set induksi agar murid-murid dapat melihat bagaimana mengukur kuantiti air secara am dan cuba memberitahu adakah air tadi sama banyak atau tidak. Lihatkan video di bawah:

Maka untuk tugasan kali ini saya telah mencari dua aktiviti yang menarik bagi membolehkan murid-murid memahami konsep dan dapat membezakan kuantiti air iaitu di antara dua bekas yang disediakan:
  1. Aktiviti mengira jumlah isipadu air ke dalam dua bekas yang berbeza (untuk pelajar yang lemah)
  2. Aktiviti mengenalpasti adakah kuantiti air tersebut sama banyak atau tidak bagi bekas-bekas yang berlainan (untuk pelajar yang berada di aras lebih tinggi)
Kedua-dua aktiviti-aktiviti ini menggunakan bahan-bahan bantu mengajar yang mudah dan senang untuk disediakan oleh guru dan murid. Semua bahan yang digunakan adalah bahan-bahan yang pernah digunakan seharian oleh murid-murid ini di rumah.